Tuesday 23 April 2013

Ayam yang tangkas di gelanggang.
Orang yang pandai berkata-kata di dalam majlis.
Ayam tidur senang di dalam reban, musang yang susah beredar sekeliling.
Tidak senang melihat kebahagiaan orang.
Ayam terlepas, tangan tercirit.
Kejahatan yang tidak mendatangkan hasil, melainkan malu semata-mata.
Ayam terlepas, tangan bau tahi.
Kejahatan yang tidak mendatangkan hasil, melainkan malu semata-mata.
Ayam tak patuk, itik tak sudu.
Keadaan orang yang hina dalam masyarakat.
Ayam sudah patah, kalau-kalau dapat menikam.
Orang yang telah jatuh melarat itu mungkin akan berubah nasibnya.
Ayam seekor bertambang dua.
Gadis seorang, dua bujang yang ingin.
Ayam putih terbang siang, hinggap di halaman, terang kepada mata orang banyak.
Perkara yang nyata mudah ketahuan.
Ayam pulang ke pautan.
Sudah pada tempatnya.
Ayam menang, kampuh (= kampung) tergadai.
(kampuh = kain selimut yang dirangkap daripada tiga helai kain.)
Keberuntungan yang tidak ada faedahnya.
Ayam itik, raja pada tempatnya.
Tiap-tiap orang ahli dalam urusannya masing-masing.
Ayam hitam terbang malam bertali ijuk, bertambang tanduk, hinggap di kebun rimbun.
Kejahatan (perkara dan sebagainya) yang dilakukan di dalam sulit, sukar diketahui.
Ayam ditambat disambar elang, padi di tangan tumbuh lalang.
Malang sekali; nasib yang buruk.
Ayam dapat, musang dapat.
Pencuri tertangkap, barang-barangnya pun tidak hilang.
Ayam bertelur di atas padi.
Hidup senang dan mewah.
Ayam bertelur di atas padi, mati kelaparan.
Sangat menderita kesusahan meskipun bergaji besar (beristerikan atau bersuamikan orang kaya) atau hidup miskin di negara yang kaya dan makmur.
Ayam beroga itu, kalau diberi makan di pinggan emas sekalipun ke hutan juga perginya. (ayam beroga = ayam hutan.)
Bagaimana senangnya di negeri asing, ingat juga kita akan negeri sendiri.
Ayam berlaga sekandang.
Berkelahi dengan orang serumah.
Ayam berinduk, sirih berjunjung.
Tiap-tiap yang lemah harus mendapat bantuan dan perlindungan.
Ayam baru belajar berkokok.
Baru cukup umur.
Awal dikenal akhir tidak, alamat badan akan rosak.
Orang yang tak berhati-hati lakukan pekerjaannya (yang baiknya saja yang diingat) tentulah akhirnya akan menyesal dan kecewa.
Awal dibuat, akhir diingat.
Sebelum membuat sesuatu pekerjaan hendaklah difikirkan masak-masak supaya selamat pekerjaan itu.
Awak yang payah membelah ruyung, orang lain yang beroleh sagunya.
(ruyung = batang pohon enau.)
Orang lain yang bersusah payah, orang lain pula yang mendapat faedahnya.
Awak yang celaka, orang yang diumpat.
Dirinya sendiri yang bersalah (kerana kemalangan, kecelakaan, kekalahan dan sebagainya), orang lain pula yang disesalkan.
Awak tikus, hendak menampar kepala kucing .
Melakukan sesuatu yang mustahil.
Awak sakit daging menimbun.
Orang kaya yang berpura-pura miskin.
Awak rendah sangkutan tinggi.
Besar belanja daripada pendapatan.
Awak menangis diberi pisang.
Bujukan (pujukan) yang tepat.
Awak kurus daging menimbun.
Orang kaya yang berpura-pura miskin.
Awak kecil makan hendak banyak, sayap singkat terbang hendak tinggi.
Mengangan-angankan sesuatu yang tidak sepadan dengan kesanggupan diri sendiri.
Awak hendak hilir, ia telah hanyut.
Cita-cita yang telah didahului oleh orang lain.
Awak alah gelanggang usai. (usai = lengang.)
Ditimpa kemalangan yang tak dapat diatasi lagi.
Aus telunjuk mencolek garam .
Hidup dalam kemiskinan.
Aur ditanam betung tumbuh.
Mendapat laba banyak dengan modal yang sedikit.
Atap rumbia perabung upih, rumah besar berdinding papan.
Barang yang baik dicampurkan dengan barang yang buruk.
Asyik memangku tangan, mati dalam angan-angan.
Tak akan tercapai maksudnya, kalau tak mahu berusaha.
Asam di darat ikan di laut, bertemu dalam belanga juga.
Perempuan dan lelaki, kalau sudah jodoh, bertemu juga akhirnya.
Asal terbang burunglah, asal berinsang ikanlah.
Tidak memilih (pekerjaan, makanan, perempuan dan sebagainya).
Asal selamat ke seberang, biar bergantung di ekor buaya .
Sangat perlu akan pertolongan, betapa pun jua pertolongan itu akan diterimanya.
Asal sabut terapung, asal besi tenggelam.
Untung-untungan; kalau bernasib baik tentu selamat, kalau bernasib malang tentu jatuh.
Asal ditugal, adalah benih.
(tugal = melubangi tanah kebun dengan kayu akan tempat menanam benih.)
Sesuatu usaha tentu ada hasilnya.
Asal besi pengapak kayu, asal emas menjadi penduk.
Darjat seseorang dapat ditentukan pada sifat perangainya. penduk = salut sarung keris.
Asal berisi tembolok senang hati.
Sudah cukup makan dan pakai maka senanglah hati.
Asal berinsang ikanlah.
Tidak memilih (pekerjaan, makanan, perempuan dan sebagainya).
Asal ayam pulang ke lumbung, asal itik pulang ke pelimbahan.
Tabiat orang tak mungkin berubah.
Asal ayam hendak ke lesung , asal itik hendak ke pelimbahan.
Tabiat orang tak mungkin berubah.
Asal ada kecil pun pada.
Kalau tak ada banyak, sedikit pun cukup juga.
Arang itu, jika dibasuh dengan air mawar sekalipun, tiada akan putih.
Orang jahat, biarpun diberi kesenangan, namun kalau mendapat kesempatan akan diulangnya juga perbuatan jahatnya itu.
Arang habis binasa, tukang hembus penat saja.
Pekerjaan yang sia-sia.
Arang habis besi binasa.
Pekerjaan yang sia-sia.
Arang di dahi (= di kening, di muka).
Mendapat malu.
Ara tak bergetah.
Suatu perkara yang mustahil.
Apung di tengah lautan; dipukul ombak, sekejap ke tengah sekejap ke tepi.
Orang dagang yang melarat hidupnya.
Api padam puntung hanyut, kami tidak di situ lagi.
Cerita yang sudah tamat; benar-benar sudah selesai.

No comments:

Post a Comment